Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan

10 Oktober 2013

Review Novel Mr. Pai Epal

Mr. Pai Epal karya Mardihah adalah satu kisah cinta yang biasa. Tetapi garapan Mardihah membuatkannya sangat menarik bagaikan membaca kisah cinta sambil mengenali dunia kulinari. Menyelami perit dan indahnya cinta sambil berjalan-jalan di kota Paris.


Keazaman Izz Amir memiliki si gadis yang memayungi ibunya yang buta dalam renyai hujan adalah permulaan kisah cinta mereka. Panggilan Cik Yaya Sayang untuk Nur Alya terngiang-ngiang sentiasa. Hanya dia yang memanggil dengan nama itu. Pertemuan antara Yaya dengan pemilik cafe Pai Epal itu telah membuatkan kehidupan si brutal yang nervous,Yaya menjadi haru biru dan kucar kacir. Bunga sakura yang berguguran di hati mengiakan rasa tapi mulut menidakkan demi restu seorang ibu. 

"Ibu kata, lelaki yang akan mengahwini awak, harus baik dan sentiasa sempurna agamanya. Solatnya juga perlu lengkap..." - Izz Amir
Tika cinta mula mendapat restu pihak di sini, pihak di sana pula menentang. Kasih yang dianyam mula disulami duri-duri. Kerana menghormati permintaan seorang ibu dan demi keluarga tercinta, hati tabah Yaya terluka dan terpaksa melalui hari-harinya menelan segala kenangan indah di hadapan mata. 

Akibat cemburu dia dikasari cinta hati dan insiden yang menodai cintanya itu telah menguatkan lagi semangatnya untuk menjauhi Izz Amir, lantas terus mengejar cita-cita ke kota Paris. Walau akal dan mulut kata benci, jiwa menyimpan kemarahan namun rasa hatinya masih mengukir nama Izz Amir. 

Apa istimewanya Cik Yaya Sayang di hati Izz Amir. Mengapakah cinta itu terus kukuh terpahat walau pelbagai rintangan mendatang. 
"Kalau saya nampak matahari, saya sentiasa nampak wajah awak yang bercahaya. Kalau saya nampak bulan, saya sentiasa nampak awak yang sentiasa tersenyum dan kalau saya nampak bintang, saya sentiasa rasa awak bintang hati saya...."
Sejauhmana Cik Yaya Sayang berlari, sejauh itu Mr Pai Epalnya mengejar. Menanti dan terus mengharap kemaafan tanpa bicara. Membiarkan diri terseksa dari Malaysia hingga ke kota Paris mengekori Cik Yaya Sayang sehingga cinta hati mengungkap kata-kata kemaafan.
Tuhan, bolehkah aku pinta daripada-Mu untuk jauhkan dia daripada diri ini? Bolehkah aku pinta supaya dia boleh lupakan aku dan pergi dari sini?
Adakah Yaya akan melupakan kenangan pahit itu dan sejauhmanakah Yaya mampu menyembunyi rindu dihati. Mampukah dia melenyapkan nama Izz Amir dalam hatinya dengan kehadiran pemilik Hei Ducati Seksi yang setia menemani.
... dalam hatinya yang sentiasa meneduhkan cinta ini dengan membawa nikmat kebesaran Ilahi. Terima kasih untuk cinta ini. Terima kasih memberi rasa cinta agung ke dalam hati.
Biarkan sakura berguguran terus berbunga 
Transformers pula menjadi saksi cinta

Setulus cinta Mister Pai Epal
Semurni hati Cik Yaya Sayang


Secebis Rasa

Bukan setakat cinta perlukan pengorbanan tetapi kehidupan juga perlukan pengorbanan. Impian cinta dan hidup tidak semudah membina istana pasir di persisiran pantai. Mungkin bahagia menjelma lewat dari apa yg kita impikan. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kadang2 kita tidak perolehi apa yang kita impikan tapi Allah berikan apa yang kita perlukan. Allah berikan kita dugaan supaya kita menjadi kuat melalui hari yang mendatang. Apa yang penting sentiasa berdoa kepada-Nya memohon ketabahan dalam mengharungi hari-hari itu. Orang kata cinta itu buta. Tapi cinta yang buta itu lebih manis jika mendapat restu dari dia, yang melahirkan kita.

*Bukit Indah mengingatkan ein tentang awak, seorang sahabat. Yang selalu mengheret saya ke tempat ini tika awak bersedih... Saya tahu awak sedang bersedih skrg, tapi kenapa saya awak lupa? Saya sentiasa rindu awak sebagai sahabat saya.
*Bestnya kalau dapat suami seorang chef kannn. mesti dapat sama2 berkelentang-kelentung di dapur. Bergaduh pun mesti pasal masakan...


Jom Join Heartbeat
Sign up HB!Affiliate to enjoy free gift!

Suka ke? Like la

07 Oktober 2013

Review Novel Hikayat Cinta Si Pematah Hati

Membaca novel setebal 1050 muka surat ini tidak pernah membosankan kerana plotnya disusun dengan teliti dan sangat menarik. Ia bagaikan benar-benar sebuah hikayat cinta dogeng sang putera dan puterinya yang penuh dengan dugaan sebelum kebahagiaan menjelma untuk mereka. Karipap pusing menjadi satu titik mulanya sebuah cinta. Cinta tanpa bicara. Dipendam rasa meniti masa. Tersemat kemas di hati sang puteri bertahun lamanya. 

Selami erti cinta bersama E-man Sufi. Kerana cinta manusia sanggup lakukan apa saja. Kerana cinta manusia berdendam. Kerana cinta manusia merana. Kerana cinta manusia berubah. Kerana cinta manusia bisa goyah dari prinsip kehidupan. Kerana cinta manusia hilang pegangan. Kerana cinta manusia sanggup berkorban. Kerana cinta manusia bahagia... semuanya kerana... cinta itu tidak bisa lari dari jiwa manusia.

Hikayat Cinta  Si Pematah Hati adalah cinta antara Rayyan Raiqarl - Warfeen Wardah - Daniel Elhan. 

Pertemuan dengan si hantu karipap pusing, Rayyan Raiqarl telah mengingatkan Warfeen Wardah tentang seseorang, mengimbau kenangan silam yang mengusik jiwa yang dipendam sekian lama. Si hero penyelamat yang inginkan karipap pusing saban hari sebagai tanda persahabatan. Si hero tiba-tiba menghilang tanpa dikenali nama dan asalnya telah membuatkan hati Warfeen menyimpan kemas segala kenangan singkat itu.

Pada pandangan pertama lagi Rayyan Raiqarl telah tertarik dengan si puteri, Warfeen Wardah. Takdir Allah, pertemuan demi pertemuan semakin mendekatkan dirinya pada sang puteri idaman. Malangnya kemunculan si hantu karipap pusing agak terlambat. Hati Warfeen Wardah telah diikat oleh Daniel Elhan. Kerana janji,Warfeen tetapkan hatinya menanti dan mempertahankan tembok kesetiaan untuk Daniel Elhan walaupun lelaki itu sering menabur janji sedangkan jiwanya makin goyah dengan kenangan silam dan layan baik sang putera. Kerana dendam, Rayyan mengetepikan prinsip hidupnya. Mula berusaha merebut hati sang puteri dengan halusnya. Mendekati dan cuba memahami hati seorang Warfeen Wardah.

Tatkala Warfeen patah hati,Rayyan cuba mendekati Warfeen si bunga matahari. Berpakat dengan nenek Warfeen meminang puteri idaman. Akhirnya pada hari perkahwinannya, barulah sang puteri membongkarkan segala rahsia. Walaupun hidup mereka bahagia, hubungan Rayyan Raiqarl dan Daniel Elhan pencetus segala masalah. Penghalang cinta yang kian mekar, meruntuh kebahagiaan yang dibina. Warfeen terpaksa berkorban meninggalkan suami yang disayangi. Mampukah cinta itu kembali. Sekuat manakah cinta si hantu karipap pusing dan si pencinta bunga matahari. Hati siapakah yang patah dan siapakah sang pematah hati. Selamilah cinta mereka dalam Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

Memaafkan lebih baik daripada terus menyimpan rasa marah sekalipun ia sesuatu yang tidak mudah. Siapa dia untuk menghukum... Cuma manusia biasa saja. Dia teringatkan satu pujangga Arab yang pernah dibacanya... Cubalah menyambung ikatan yang telah putus, cubalah memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadamu dan cubalah memberi maaf kepada orang yang telah menganiyaimu kerana dengan cara itulah kamu akan mengerti apa itu erti kemanusiaan.
Secebis Rasa

Sesungguhnya cinta itu buta. Kerana cinta manusia bisa berubah. Yg keras & hitam hatinya mampu menjadi bersih. Yg suci dan baik hatinya mampu menjadi sekejamnya. Apa2 pun yang berlaku, cubalah jangan menjadi hamba cinta. Berbaliklah kepada Maha Pencipta, mohonlah kekuatan daripada-Nya. Dunia ini penuh dengan dugaan. Tanpa dugaan pastinya hidup tidak berwarna warni. Warnailah kehidupan kita dengan kesabaran, ketabahan dan penuh keyakinan. Insya Allah bahagia itu milik kita.

 
Jom Join Heartbeat
Sign up HB!Affiliate to enjoy free gift!

Suka ke? Like la

03 September 2013

Review: Novel Mencari Taman Di Hati



Novel ni sebenarnya novel lama. Dulu tajuknya Bahagia Untukmu. Bab2 awalnya ada di penulisan2u. Puas mencari merata2 novel ni. Rupa2nya tajuknya telah ditukar kepada Mencari Taman Di Hati dan sebaliknya ia diterbitkan oleh Jemari Seni. Kalau tidak kerana merajinkan diri menterjah blog JS rasanya taklah ein jumpa blog Aidah Bakri ni, dan tak tau juga la yg Bahagia Untukmu adalah Mencari Taman Di Hati. 

Bila novel ni sampai je, niat di hati nak selesaikan pembacaan dlm masa satu hari je. Huh... kalau dah pembaca tu namanya Ein Lynn, mmg hajat tu x akan kesampaian. Mana taknya, speed pembacaan dah la slow yg teramat sgt, kalahkan org buat proof reading. Dengan habit yg suka mengulang2 membaca setiap perenggan, lebih2 lagi gaya bahasa Aidah Bakri yg sangat puitis ni. Inilah habit ein bila membaca. Memahami setiap ayat dan mencerap kandungan sebaik2nya. Kalahkan membaca teks fakta tau! Pasal tu la setiap kesalahan ejaan dan ayat ein boleh perasan.

Mencari Taman Di Hati walaupun novel yg dah lama tapi ianya tetap segar dan menyentuh ke tangkai hati dengan ayat2 puitisnya . Merananya dan sakitnya jiwa dpt dirasakan tetapi kekadang terasa macam nak ketuk je kepala watak Syuhada tu sebab sikapnya yg terlalu berahsia, memendam rasa dan sukar utk berterus terang. 

Kerana terikat dengan janji sendiri, Syuhada terpenjara dan menjeruk rasa. Merelakan diri terseksa, dirantai luka dan membiarkan derita bersarang dihati. Walaupun janji yang terikat 5 tahun lamanya akhirnya dirungkai, namun masih ada rasa yang terkurung bagaikan satu hukuman dan sukar baginya melolosi diri. Rasa yang menghukum, menghalangnya memberi peluang bahagia untuk diri. Meluah rasa hanya dengan air mata. Air mata yang sukar dimengertikan oleh sesiapa.

Takdir menemukan Syuhada dengan Shahrul Riezman. Takdir juga menyaksikan kebetulan demi kebetulan pertemuan mereka kembali. Walaupun hati Syuhada beku sedingin salju, namun Shahrul Riezman tidak pernah putus asa melamar kasih, memburu cinta seorang Syuhada yang mengunci rapat pintu hatinya. Shahrul Riezman terlalu yakin dengan mimpi yang mengganggu tidurnya. Cuba mencambah tunas dan mencari taman di hati Syuhada. Berharap hati sayu seorang Syuhada mampu dibahagiakan. 

Namun kehadiran Zulhilmi menagih janji telah mengheret Syuhada dalam perkahwinan tanpa rela. Kerana mencari reda dan restu seorang ibu, Syuhada turutkan. Membiarkan diri dirantai sengsara tika hati mula diketuk bibit-bibit bahagia, dicuit satu rasa. Merelakan masa depannya diperjudikan walau jiwa meronta. Dia belajar untuk reda dengan takdir-Nya. Belajar menerima jodohnya. Belajar bersyukur dengan apa yang dimilikinya.


Kasih dan cinta! Entah bila wujudnya... segala-galanya di bawah sedar. Cinta di bawah sedar... ternyata lebih manis dan mengasyikkan. 

Siapakah yang mampu bertakhta dalam taman hati Syuhada? Mampukah bahagia menjadi miliknya? Jom beli dan baca terus novel ni dari Jemari Seni.

Syukur meliputi ilmu, amalan dan suasana. Ilmu itu ialah dengan mengenali Allah menerusi nikmatnya. Amalan ialah dengan melaksanakan tugas yang diamanahkan Allah. Dan suasana pula ialah menimbulkan kegembiraan atas nikmat yang dikecapi.

Secebis Rasa
Membaca novel ini membuatkan ein terasa rindu pada zaman kanak-kanak. Pantai punggur yang dulu kerap dikunjungi bersama keluarga menggamit nostalgia indah. Mampukah segalanya kembali sebagaimana dulu tika kami semua telah membesar dengan pelbagai kisah sebagaimana yang telah DIA takdirkan. Kalau segalanya mampu diperbetulkan, mampukah kami menikmati keindahan dan berpiknik di pantai ini sambil menyapa angin pantai yang bertiup. Mengutip kerangan, membiarkan kaki bersalut lumpur di tanjung dan menanti nelayan pulang dengan hasil laut. Seronoknya waktu itu. Ijah dan Oya... alangkah baiknya kalau kita dapat menikmatinya sekali lagi bersama. Entah bagaimana la rupanya pantai punggur sekarang ini, setelah lebih 15 tahun tak berkunjung...

Jom Join Heartbeat
Sign up HB!Affiliate to enjoy free gift!
 





Suka ke? Like la